Aku mula mengenalinya bila ikatan awal antara aku dan suamiku dimeterai. Pertengahan tahun 2004. Pertemuan rasmi pertama apabila menziarahinya selepas dia habis pantang melahirkan anak bongsunya - Aidil. Kemesraan pertama kali bersua terpahat di hati. Syukur! Petanda awal bahawa ahli keluarga yg lain juga begitu. Hanya dia di rumah itu bersama bakal mak mertua. Yg lain - Kak Long di Kuching, Na di Melaka, Azimah di Labuan dan Kak Gee di Jerantut.
Hujung November 2004, secara rasmi menjadi ahli keluarga dia. Sepanjang tahun 2005, setiap minggu tidak pernah ketinggalan utk bermalam bersamanya dan mak mertua di rumah itu. Ketika itu, aku dan suami terpaksa berjauhan kerana permohonan bertukar tidak diluluskan. Walaupun mengandung saat itu, namun aku tidak risau kerana kedua keluarga di sisi.
Kunjungan setiap hujung minggu atau walau hanya menyinggah setiap kali balik sekolah, pastinya aku akan dibekalkan dengan roti dan donut yang diusahakannya. Ahhh.....rindunya aku pada kesedapan roti dan donut yang dibuatnya. Namun, sayangnya....perniagaan roti dan donut yang sedang rancak itu terpaksa dihentikan apabila dia didiagnos mengidapi ketumbuhan otak. Ya Allah....rupanya sakit kepala dan penglihatan yang kabur itu adalah disebabkan penyakit itu.
Pertengahan 2005, bermulalah episod, bulan, minggu dan hari dia kesakitan terutama apabila berlaku perubahan hormon. Berat mata memandang, tentulah berat lagi bahu dan kepala yang menghadapinya. Biarpun di saat awal perkabaran, dia nampak goyah. Namun....dia bangkit melawan sakitnya biarpun usaha yang dilakukannya hanyalah secara tradisional dan rawatan alternatif. Itu kemahuannya kerana dia tidak mahu dibedah utk membuang ketumbuhan itu. Usaha itu adakalanya kelihatan berjaya namun ada kalanya seolah2 tidak memberi kesan.
Biarpun dia dalam kesakitan, namun sukarnya utk melihat dia mengeluh meratapi ujianNya. Malah dia sentiasa cuba mengembirakan mak mertua kerana sepatah katanya - kalau dia sedih dan tidak berdaya, tentunya mak juga lebih2 sedihnya. Ya Allah....mulianya anak ini.
Sepertimana dia menjaga hati mak, begitulah juga dia menjaga hati orang lain. Dia cukup pemurah dan tidak berkira. Sentiasa menjaga keselesaan ahli keluarga yang pulang ke kampung setiap kali cuti sekolah. Kerana rumah mak adalah rumahnya sekeluarga!
Kini, semua tinggal kenangan. Kepulangan kami ke kampung semasa CNY adalah perjumpaan terakhirku dengannya. Semuanya nampak baik2....dia sihat. Malah kuat makan dan banyak bercakap. Rupanya itu petandanya..........Tiada siapa menduga serangan sawan di awal pagi Isnin 23hb Jan. Ketumbuhan itu sudah terlalu besar. Menghimpit otak kanan. Menekan sarafnya.
Empat hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah, dia selalu dikunjungi sanak saudara tanpa putus. Tanda dia disayangi oleh semua! Biarpun dia sudah sedar dari serangan itu, namun ingatannya tidak stabil. Ada sanak saudara dikenali namun ramai juga tidak dikenalinya lagi! Ya Allah....
Perancangan utk dia menjalani pembedahan yg dijadualkan Ahad depan rupanya tidak kesampaian. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik utknya. Allah makbulkan doanya utk tidak dibedah hingga ke saat akhir hayatnya. Allah permudahkan saat kematiannya kerana dia telah menanggung kesakitan itu selama hampir 8 tahun walaupun pada mulanya dokor hanya menjangkakan tempoh hayatnya kurang dari setahun!
Bagiku dia insan terpilih! Terpilih menanggung penderitaan di dunia untuk mengurangkan penderitaan di sana. Terpilih utk meninggalkan dunia yg fana ini pada hari penghulu segala hari. Segalanya mudah di saat akhir hayatnya. Semua urusan pengebumian selesai sebelum solat Jumaat. Suasana redup, dingin dan nyaman sepanjang hari seolah2 turut bersedih atas pemergiannya. RedhaNya kerana redha suami dan ibunya.........
Al- Fatihah untuk kakak iparku Zaharah Dollah. Moga rohmu ditempatkan bersama golongan2 yg beriman. Amin
p/s Tiada lagi senyuman itu, suara itu dan wajah itu.......:(
Coretan lain tentang arwah boleh di baca di
SINI dan
SINI